Skip to main content

PENJANA lonjak niaga digital hadapi norma baharu - Menteri KPDNHEP

KUALA LUMPUR: Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang dirangka kerajaan bagi menghadapi cabaran susulan pandemik COVID-19, membuka peluang lebih luas dalam usaha menghidupkan semula ekonomi antaranya dengan inisiatif melonjakkan perniagaan digital.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Alexander Nanta Linggi berkata langkah yang diambil kerajaan itu dilihat tepat bagi merangsang perniagaan dan ekonomi rakyat.

"KPDNHEP menyambut baik usaha kerajaan berkenaan kempen 'Shop Malaysia Online' seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam PENJANA. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lepas menyaksikan perubahan ketara dalam trend pembelian.

"Ramai pengguna telah beralih dan mengadaptasi pembelian dalam talian, peniaga juga mula meneroka aplikasi digital bagi memasarkan produk jualan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin ketika membentangkan pelan jangka pendek bertemakan 'Bersama Menjana Ekonomi' itu berkata, ia juga untuk melonjakkan perniagaan dengan menggariskan 40 inisiatif dan peruntukan RM35 bilion bagi mencapai matlamat-matlamat tersebut.

Nanta berkata selain menggalakkan rakyat menyokong produk dan perkhidmatan tempatan usaha kerajaan itu selaras dengan rancangan kerajaan dalam membantu peniaga menjana pendapatan menerusi platform digital melalui kempen 'Buy Malaysia' yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Katanya, KPDNHEP menghargai keprihatinan kerajaan yang menyokong pertumbuhan ekonomi gig dengan peruntukan sebanyak RM75 juta bagi membantu pemain industri yang terlibat di dalam sektor berkenaan seterusnya bermanfaat kepada pengguna, peniaga serta merancakkan semula ekonomi negara.

-- BERNAMA