Skip to main content

PENJANA jadi 'ubat' pulihkan ekonomi negara

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang merangkumi 40 inisiatif bernilai RM35 bilion disifatkan sebagai 'ubat' bagi memulihkan ekonomi selepas COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat jualan hartanah dalam talian, Hi Home, Radzi Tajuddin berkata, inti pati yang digariskan menerusi pelan itu mampu memulihkan ekonomi negara secara menyeluruh dan bersifat inklusif.

Katanya, pelan itu juga secara tidak langsung telah mengiktiraf ekonomi digital sebagai antara sektor ekonomi utama di negara ini.

"Kenapa negara memilih ekonomi digital? Ini kerana kita boleh kurangkan kontak fizikal dalam kalangan manusia.

"Kenapa ia juga disifatkan sebagai ubat? Ini kerana melalui pendekatan ini mampu mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan pertumbuhan atau kemajuan syarikat dan mampu membawa masuk pelaburan asing," katanya menerusi temu bual dalam Buletin AWANI pada Sabtu.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PENJANA dengan tema 'Bersama Menjana Ekonomi' yang akan memberi tumpuan kepada tiga matlamat utama iaitu memperkasa rakyat, merancakkan perniagaan dan merangsang ekonomi.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, pendekatan yang diambil kerajaan amat bertepatan dengan situasi semasa selain mampu mewujudkan peluang pekerjaan baharu yang boleh mengurangkan kadar pengangguran dalam negara.

"Wabak COVID-19 telah merencatkan ekonomi negara dan ini telah mengurangkan permintaan secara fizikal.

"Oleh itu, kerajaan cuba untuk merangsang permintaan barangan dan perkhidmatan melalui platform digital dan ini akan membolehkan peluang pekerjaan diwujudkan pada masa akan datang," jelasnya.