Skip to main content

Peniaga dituduh sembunyi wang milik individu lain dalam akaun bank

SEORANG peniaga tidak mengaku salah di Mahkamah Majistret Bahau, Jempol hari ini atas tuduhan menyembunyikan wang milik orang lain di dalam akaun banknya.

Chew Meng Chong, 38 dari Banting, Selangor membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Khir Nizam Jemari sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, pada jam 12.27 tengah hari dengan curangnya menyembunyikan wang RM1,500 yang dimasukkan seorang wanita ke dalam akaun banknya dan gagal membuktikan wang berkenaan adalah miliknya.

Oleh yang demikian tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Berdasarkan fakta kes, tertuduh menerusi laman sosial Facebook menjalankan urusan menjual jam jenama Garmin (Fenix) 5x Plus kepada seorang lelaki berusia 32 dengan harga RM1,500.

Sebaik pembayaran dibuat oleh isteri lelaki berkenaan, tertuduh gagal dihubungi menyebabkan lelaki berkenaan membuat laporan polis.

Khir Nizam menetapkan sebutan semula kes pada 7 Julai depan bagi lantikan peguam dan tiada ikat jamin dikenakan terhadap tertuduh.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Salwati Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.