Skip to main content

Peniaga didakwa buat hantaran jelik terhadap Sultan Kelantan

JOHOR BAHRU: Seorang peniaga didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan membuat penghantaran jelik terhadap Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

Tertuduh, Md Haniff Md Yunos, 40, didakwa melakukan kesalahan itu pada 14 Disember tahun lalu, kira-kira jam 1.13 petang melalui aplikasi Facebook 'Haniff Md Haniff Yunos' di sebuah rumah Taman Seri Austin Hills, Johor Bahru.

Dia mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, V Mabel Sheela.

Md Haniff didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya terhadap Sultan Kelantan dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Profil Facebook itu telah dibaca di Jalan Seri Austin Hills 3/10, Taman Seri Austin Hills, di sini, kira-kira 2.20 petang, hari sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Timbalan Pendakwa Raya, Lydia Salleh mencadangkan tertuduh yang tidak diwakili peguam diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin kerana mengambil kira kegagalan dia hadir pada minggu lalu.

Md Haniff dalam rayuannya memberitahu kegagalannya hadir ke mahkamah pada minggu lalu kerana mengambil ubat berkaitan penyakit Bipolar yang dihidapinya selain tidak cukup wang jaminan.

Hakim, Mabel Sheela kemudian menetapkan wang jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin selepas mengambil kira rayuan tertuduh yang menanggung keluarga yang juga suri rumah dan memiliki lima anak berumur antara tiga dan 10 tahun.

Mabel Sheela turut memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran tempat tinggalnya sebulan sekali dan menetapkan 29 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Mabel Sheela turut menasihati tertuduh supaya menukar kata laluan Facebook tertuduh berikutan penyataan tertuduh akaun Facebook miliknya sering digodam.