Skip to main content

Pengambilan kopi bersama durian boleh sebabkan kembung perut

DURIAN mengandungi gula yang boleh difermentasi bakteria dalam usus perut hingga menyebabkan pemakannya mengalami kembung perut.

Malah, pengambilannya bersama minuman seperti kopi boleh meningkatkan lagi gejala berkenaan.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Norhasnida Zawawi berkata, situasi bertambah buruk sekiranya pemakannya adalah mereka yang mengidap penyakit 'Irritable Bowel Syndrome' atau sindrom rengsa usus (IBS).

Katanya, individu yang mengidap IBS jarang mengetahuinya kerana kurang kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang penyakit berkenaan.

Menjelaskan lanjut, pesakit IBS selalunya berasa tidak selesa selepas memakan durian bersama minuman seperti kopi.

"Gabungan kopi dan durian boleh meningkatkan lagi simptom penyakit disebabkan kandungan 'salicylates' selain minuman bergas juga menambahkan kesan kembung perut.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Norhasnida Zawawi. Pensyarah Kanan Jabatan Sains Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Norhasnida Zawawi.

"Malah, IBS akan menyebabkan kandungan gas dalam usus meningkat mendadak sebagai reaksi bakteria dalam usus terhadap gula yang boleh difermentasi seperti gula dalam durian," katanya.

Katanya, sindrom itu semakin meningkat apabila durian dimakan bersama makanan yang mengandungi kandungan FODMAP (Fermentable oligosaccharide, di-mono-and polyols) yang tinggi.

"Durian turut mengandungi gas semula jadi dan bahan meruap yang meningkatkan lagi kandungan gas dalam sistem pencernaan selepas dimakan.

"Ini menyebabkan individu yang memakan durian tidak berasa selesa kerana kandungan gas yang banyak dalam usus terutama kepada pesakit IBS," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, sindrom ini boleh dirasai mana-mana individu namun ia lebih mudah dirasai mereka yang mengidap penyakit ini.

Menurutnya, bagi mengelak sindrom itu berlaku, orang ramai dinasihatkan supaya tidak makan durian dalam kuantiti yang banyak.

"Makan dalam kuantiti sederhana supaya reaksi gas dalam usus tidak terlalu tinggi hingga menyebabkan kembung perut.

"Tiada implikasi kesihatan serius kepada mereka yang makan durian pada kadar yang sepatutnya mengikut panduan Kementerian Kesihatan Malaysia bahkan durian mengandungi kandungan asid folik yang tinggi yang baik untuk kesihatan," katanya.

Musim durian ketika ini menyebabkan peminat tegar raja buah itu tidak melepaskan peluang untuk makan dalam kuantiti yang banyak.

Namun, ada dakwaan mengatakan durian tidak boleh dimakan bersama air bergas dan kopi kerana boleh menyebabkan seseorang itu pengsan dan mengalami implikasi kesihatan serius.