Skip to main content

Penduduk sukar beli barang, tiada tunai

PENDUDUK Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama, Bukit Changgang, Kuala Langat yang diletakkan di bawah kawasan perintah kawalan pentadbiran (Semco) mendakwa sukar membeli barang keperluan kerana kekurangan tunai.

Pekerja swasta, Mohamad Hasyim Sarip, 38, berkata, tidak menyimpan tunai yang banyak kerana tidak menyangka kawasan kediaman itu dikenakan perintah Semco sejak tiga hari lalu.

Menurutnya, walaupun penduduk mendapat kelonggaran untuk keluar membeli keperluan harian di beberapa kedai di taman itu, namun mereka berdepan masalah tiada tunai.

Katanya, pemilik kedai tidak menyediakan pembayaran secara dalam talian dan penduduk juga tidak dibenarkan keluar untuk ke bank.

"Bekalan barangan basah seperti sayur dan ikan sudah habis dan sebagai inisiatif saya terpaksa mendapatkan bantuan daripada abang yang tinggal di luar bagi menghantar bekalan.

"Setakat ini sudah dua kali saya mendapatkan bantuannya dan barangan diambil di pintu kawalan," katanya ketika ditemui hari ini.

Tinjauan mendapati penduduk dibenarkan bergerak ke kedai membeli barangan keperluan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka dan memeriksa suhu badan.

Kawasan perumahan itu diletakkan di bawah Semco bermula 3 hingga 16 Jun ini, susulan lebih 20 warga Bangladesh yang tinggal di taman itu disahkan positif Covid-19.

Bagi pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB), Mohd Idzwan Musliman, 34, berkata, dia mencadangkan peniaga menyediakan pembayaran secara dalam talian bagi memudahkan penduduk membeli barangan keperluan.

"Jika tidak agak sukar untuk kami membeli barang keperluan," katanya.