--> Skip to main content

Pemilik restoran dihukum penjara 723 tahun tawar promosi tidak masuk akal

BANGKOK: Dua pemilik sebuah restoran makanan laut di Thailand dijatuhi hukuman penjara 723 tahun setelah didapati bersalah menawarkan baucar promosi makanan laut yang tidak masuk akal.

Apichart Bowornbancharak and Prapassorn Bawornban dituduh menjual baucar palsu yang membolehkan pelanggan menikmati bufet makanan laut pada harga yang teramat rendah, iaitu 880 baht (kira-kira RM120) untuk 10 orang.

Dalam pertuduhan di mahkamah, Apichart dan Prapassorn didakwa berjaya memperoleh 50 juta baht (kira-kira RM6.8 juta) daripada penjualan promosi berkenaan kepada 20,000 pelanggan.

Namun, tindakan mereka yang dengan segera menarik balik tawaran promosi itu sebaik mengaut keuntungan mengakibatkan ketidakpuasan hati orang ramai.

Menurut pendakwa raya, kedua-dua tertuduh yang juga pemilik restoran Laemgate Infinite itu tidak berniat untuk melunaskan janji itu kerana mustahil untuk menjual makanan laut berkualiti tinggi pada harga rendah yang tidak masuk akal.

Restoran itu diarah membayar saman sebanyak 1.8 baht dan membayar 2.5 baht kepada pelanggan sebagai ganti rugi.

Dilaporkan 375 daripada 818 pelanggan yang membuat aduan berjaya mendapat pengembalian wang.