Skip to main content

Pembukaan sempadan negara ikut garis panduan serta protokol kesihatan

MALAYSIA dan Singapura bersepakat mengambil langkah berhati-hati berhubung pembukaan semula sempadan negara dengan mengikut garis panduan serta protokol kesihatan tertentu.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkongsi perkembangan itu menerusi hantaran dimuat naik bersama gambar di akaun Facebook (Fb) rasminya.

" Hari ini saya menghubungi rakan sejawat saya Tuan Yang Terutama Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Singapura, khusus bagi membincangkan pembukaan semula sempadan kedua-negara negara.

"la adalah susulan kepada perbincangan oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan pada 24 Jun lalu yang telah membincangkan secara mendalam isu yang sama.

"Kami sepakat pembukaan semula sempadan negara perlu dilakukan secara berhati-hati dan mengikut garis panduan serta protokol kesihatan tertentu demi menjana semula sektor ekonomi dan pelancongan yang tentunya akan memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara," katanya.

Menerusi hantaran sama, Muhyiddin menyatakan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama dengan Singapura berhubung keperluan mewujudkan "Reciprocal Green Lane" bagi menjamin kelancaran pergerakan di kedua-dua negara supaya hal itu dapat dimuktamadkan tidak lama lagi.

"Kami juga membangkitkan mengenai urusan berulang-alik 'Periodical Commuting Arrangement (PCA)' antara Malaysia-Singapura, di mana jika dilaksanakan akan memudahkan urusan pergerakan rakyat kedua-dua negara.

"Di bawah pengaturan ini, penduduk kedua-dua negara boleh bekerja di negara lain bagi tempoh kurang tiga bulan dan akan dibenarkan memasuki negara asal mereka ketika pulang bercuti.

"Cadangan ini dilihat selaras dengan keprihatinan kerajaan mengenai nasib rakyat Malaysia khususnya yang bekerja di Singapura dan tidak dapat pulang ke rumah berikutan prosedur operasi standard (SOP) kuarantin yang ketat di kedua-dua negara," katanya.

Menurut Muhyiddin ,beliau dan rakan sejawatnya itu yakin isu berkaitan SOP dan protokol kesihatan yang sedang diperhalusi di peringkat menteri pegawai kanan kerajaan dan pakar kesihatan kedua-dua negara dapat menyokong cadangan pembukaan semula sempadan dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat sekaligus menangani kebimbangan rakyat.

"Saya akhiri perbualan dengan meminta Tuan Yang Terutama Lee Hsien Loong memberi pertimbangan sewajarnya dalam membenarkan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura berulang-alik ke tempat kerja setiap hari.

"Sebarang keputusan mengenai perjanjian ini bagaimana pun bergantung kepada tahap kesediaan kedua-dua negara, meliputi aspek kapasiti melaksanakan ujian saringan dan ujian swab Covid-19," katanya.