Skip to main content

Pembukaan sempadan Malaysia-Singapura perlu dibuat secara berhati-hati

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Singapura sepakat bahawa pembukaan semula sempadan kedua-dua negara perlu dilakukan secara berhati-hati dan mengikut garis panduan serta protokol kesihatan tertentu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pada masa sama, berkata, dua negara itu juga bersedia bekerjasama untuk mewujudkan reciprocal green lane bagi menjamin kelancaran pergerakan rakyat Malaysia dan Singapura.

Beliau mendedahkan perkara itu selepas perbualan melalui telefon bersama rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong.

"Hari ini saya menghubungi rakan sejawat saya Tuan Yang Terutama Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Singapura, khusus bagi membincangkan pembukaan semula sempadan kedua-negara negara. Ia adalah susulan kepada perbincangan oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan pada 24 Jun lalu yang telah membincangkan secara mendalam isu yang sama.

"Kami sepakat pembukaan semula sempadan negara perlu dilakukan secara berhati-hati dan mengikut garis panduan serta protokol kesihatan tertentu demi menjana semula sektor ekonomi dan pelancongan yang tentunya akan memberi manfaat besar kepada kedua-negara negara," katanya melalui satu kenyataan di laman sosial Facebooknya pada Jumaat.

Selain itu, perbualan dua pemimpin itu turut menyentuh mengenai urusan berulang-alik Periodical Commuting Arrangement (PCA) antara Malaysia-Singapura yang bertujuan memudahkan urusan pergerakan rakyat kedua-dua negara.

"Di bawah pengaturan ini, penduduk kedua-dua negara boleh bekerja di negara lain bagi tempoh kurang tiga bulan dan akan dibenarkan memasuki negara asal mereka ketika pulang bercuti.

"Cadangan ini dilihat selaras dengan keprihatinan Kerajaan mengenai nasib rakyat Malaysia khususnya yang bekerja di Singapura dan tidak dapat pulang ke rumah berikutan SOP kuarantin yang ketat di kedua-dua negara," tambahnya.

Malaysia dan Singapura juga yakin isu berkaitan prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan yang sedang diperhalusi di peringkat menteri, pegawai kanan kerajaan serta pakar kesihatan kedua-dua negara akan menyokong cadangan pembukaan semula sempadan akan dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat.

"Saya akhiri perbualan dengan meminta Tuan Yang Terutama Lee Hsien Loong memberi pertimbangan sewajarnya dalam membenarkan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura berulang-alik ke tempat kerja setiap hari. Sebarang keputusan mengenai perjanjian ini bagaimanapun bergantung kepada tahap kesediaan kedua-dua negara, meliputi aspek kapasiti melaksanakan ujian saringan dan ujian swab COVID-19," ujarnya.