Skip to main content

Pembinaan kolam takungan selesaikan masalah air di Gugusan Chini

GANGGUAN bekalan air di Gugusan Chini yang kerap berlaku sebelum ini dijangka dapat diselesaikan menerusi pembinaan kolam takungan hiliran (ORS) di muka sauk Sungai Mentiga dekat Pekan.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerja pembinaan itu dilakukan oleh sebuah syarikat dan kerja pembinaan bermula September depan.

"Proses tender akan diadakan pada bulan ini (Jun) oleh pihak pengurusan Felda dan saya jangkakan kerja pembinaan dapat dimulakan pada September ini dan proses menyiapkannya mengambil masa selama 12 bulan.

"Apabila siapnya projek itu nanti ia akan memberi manfaat kepada lebih 33,000 penduduk di sekitar Felda Gugusan Chini termasuk kampung tradisional seperti Paloh Hinai, Kampung Mambang, Kampung Padang Rumbia dan Gumum," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat lawatan tapak ke Projek ORS Loji Rawatan Air Chini hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Razak, Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Pengerusi Felda Datuk SeriIdris Jusoh.

Wan Rosdy berkata, pembinaan ORS itu dapat dilaksanakan selepas Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan dana sebanyak RM18 juta untuk membina kolam takungan berkenaan.

Menurutnya, peruntukan sebanyak RM18 juta itu diluluskan pada 2017 lalu tetapi berlaku kelewatan semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, beliau berkata, peruntukan RM18 juta itu hanya boleh membina ORS bersaiz kecil yang dapat menampung bekalan air selama 11 hari sahaja di musim kemarau.

"Saya meminta supaya membina ORS bersaiz besar yang boleh menampung bekalan air hingga 22 hari ketika musim kemarau dan Pengerusi Felda susah bersetuju untuk usahakan dengan peruntukan yang lebih besar," katanya.