Skip to main content

Peluang kerja untuk peminjam PTPTN wajar diraih

PEMINJAM Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang masih menganggur dinasihati supaya tidak terlalu memilih kerja, apatah lagi ketika zaman kelembapan ekonomi ketika ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata, sikap sedemikian merugikan golongan terbabit terutama ketika peluang pekerjaan sudah terbuka untuk mereka.

Katanya, peluang yang diberikan oleh kerajaan menerusi PTPTN dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu perlu direbut bagi menampung kehidupan mereka di masa depan.

"Ketika dunia diancam kelembapan ekonomi, saya bimbang, anggota masyarakat yang menganggur, termasuk peminjam PTPTN, akan terkesan kerana mereka bukan saja tiada pekerjaan malah perlu membayar balik pinjaman.

"Sebagai kerajaan prihatin, Kementerian Sumber Manusia melalui PERKESO tampil untuk membantu golongan ini mendapatkan pekerjaan.

"Cuma permintaan saya ialah, jangan memilih kerja, terimalah pekerjaan yang ditawarkan bagi meneruskan kelangsungan hidup dan pada masa sama, dapat melunaskan pinjaman PTPTN," katanya.

Beliau ditemui pada lawatan ke pusat penginapan pekerja kilang pembuatan kaca Xinyi Glass di Lipat Kajang, Merlimau di sini, hari ini.

PTPTN semalam memaklumkan, peminjam termasuk yang disenarai hitam berpeluang mencari pekerjaan di platform disediakan institusi pengurusan dana dan tabung pendidikan tinggi itu dengan kerjasama PERKESO.

Program 'Virtual Mini Job Hunt for PTPTN Borrowers' secara dalam talian menyediakan 4,609 jawatan kosong membabitkan 20 majikan.

Program itu bukan sahaja membantu graduan yang belum mendapat pekerjaan, tetapi juga terbuka kepada individu yang sudah bekerja namun ingin meningkatkan taraf hidup.

Sementara itu, Saravanan berkata, kementeriannya mahu agensi yang mengambil pekerja asing di negara ini turut mendaftarkan kemasukan pekerja kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya, langkah terbabit adalah untuk penyelarasan, selain bertujuan memantau serta mengimbangi sektor pekerjaan di negara ini yang memerlukan khidmat pekerja asing.

"Saya sudah meminta supaya mereka (agensi pekerja asing) mendaftar juga kepada KDN supaya kita dapat mengawal (kemasukan pekerja asing), kalau tidak kita tidak akan tahu berapa ramai pekerja asing akan masuk ke dalam negara," katanya.