Skip to main content

Pelanggan berhak minta bukti penggunting rambut bebas Covid-19

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat menggunting rambut berhak meminta sijil kesihatan bebas Covid-19 daripada penggunting rambut sebelum menggunakan khidmat mereka, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, ini bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) kedai gunting rambut dipatuhi terutama apabila melibatkan penggunting rambut warga asing.

"Syarat untuk menggunting rambut ialah tukang gunting mesti negatif (Covid-19) untuk teruskan operasi mereka.

"Pengguna boleh minta (dokumen) setiap klinik yang buat ujian swab, biasanya akan keluarkan surat mengatakan mereka bebas virus itu. Pengunjung berhak minta surat tersebut," katanya dalam sedang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Kedai gunting dan dandanan rambut serta salon kecantikan dibenarkan beroperasi sejak 10 Jun ketika PKPP.

Ismail Sabri juga meminta pelanggan membantu kerajaan dengan menyalurkan aduan berkaitan penggunting atau pendandan rambut yang gagal menunjukkan bukti bahawa mereka bebas Covid-19.

"Tukang gunting, terutama warga asing yang gagal menunjukkan bukti apabila diminta adalah melanggar SOP ditetapkan dan pelanggan boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa mengenainya," kata beliau.

Mengulas mengenai berita tular seorang tukang gunting warga asing positif Covid-19 di Setapak, Ismail Sabri berkata, beliau belum menerima laporan daripada Kementerian Kesihatan mengenainya, tetapi jika perkara itu benar, premis tersebut akan ditutup dan mereka yang terlibat akan disaring.

Berkaitan operasi di rumah ibadat bukan Islam, beliau berkata Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique akan membentangkan SOP baharu pada mesyuarat khas menteri-menteri berkaitan Covid-19 Isnin depan.

"Setakat ini, 171 pusat ibadat bukan Islam dibenarkan beroperasi tetapi hanya dibuka pada hari penting seperti untuk penganut Kristian, gereja dibuka pada Ahad dan dihadkan 30 orang pada satu-satu masa," katanya.

"Susulan perubahan baharu pada SOP untuk ibadat di masjid, saya percaya bagi rumah ibadat lain akan ada perubahan, saya dimaklumkan Halimah akan membentangkan SOP baharu (bagi) bukan Islam pada mesyuarat Isnin nanti, mungkin (perubahan) pada tambahan hari atau sebagainya," kata beliau.

Ismail Sabri berkata, arahan penjarakan sosial juga tidak lagi terpakai untuk pengangkutan bas pekerja dan bas pelancong.

"Kelonggaran diberi kepada bas pekerja kerana lebih mudah untuk dikawal kerana semua pekerja kilang telah dikenal pasti.

"Begitu juga bas pelancong berbanding bas awam, sebab itu penumpang bas awam perlu memuat turun aplikasi MySejahtera," katanya. - Bernama