Skip to main content

Pelan tindakan bangunkan PBKL pada peringkat akhir

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang pada peringkat akhir penyediaan pelan tindakan membangunkan Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) yang lebih moden dan sesuai pada masa depan.

Ia membabitkan pembinaan bangunan berteknologi hijau serta penggunaan lebih banyak jentera, dengan mengambil contoh model pasar borong di Jepun, Korea dan beberapa negara maju lain.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata kos pelaksanaan pelan tindakan itu dianggarkan antara RM200 juta hingga RM300 juta, dengan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh setahun dari tarikh mula pembinaan.

Selain itu, beliau berkata, DBKL sedang meneliti beberapa kaedah pelaksanaan, termasuk cara kreatif menampung kos pembinaan bagi meminimumkan penggunaan dana daripada kerajaan.

"Kita mahu menyediakan tempat berniaga yang lebih baik untuk semua, termasuk peniaga dan pengguna. PBKL ini sudah hampir 30 tahun dan bangunannya tentu perlu diperbaharui.

"Ini tanah DBKL dan mereka boleh memutuskan kaedah manakala manakala bangunan lama tidak semestinya perlu diusik. Kita ada ruang untuk membina," katanya pada sidang media selepas melawat PBKL, di sini, hari ini.