Skip to main content

Pekerja kilang koma motosikal rempuh babi hutan

PEKERJA kilang koma selepas motosikal ditungganginya merempuh babi hutan di Jalan Lubok Cina-Alor Gajah, di Kampung Brisu, Alor Gajah, semalam.

Dalam kejadian pada 7 pagi itu, Zulkarnain Mokhtar, 32, mengalami kecederaan tulang tengkuk dan rusuk kanan patah.

Ibu saudaranya, Salmiah Jantan, 56, berkata, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Honda RS150R dari kediamannya di Taman Wira Indah, Lubok Cina ke kilang tempatnya bekerja di Pegoh.

Katanya, rakan mangsa yang menunggang motosikal di belakangnya mendakwa, seekor babi hutan tiba-tiba muncul dari sebelah kiri jalan sebelum meluru ke tengah jalan.

"Anak saudara tidak sempat mengelak, lalu terlanggar babi hutan itu menyebabkannya tercampak ke tepi jalan.

"Motosikalnya turut terseret beberapa meter," katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Jerneh, Lubok Cina hari ini.

Katanya, akibat rempuhan itu mangsa tidak sedar diri dan dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Malah, Zulkarnain masih dalam keadaan koma ketika ini.

Salmiah berkata, mangsa sudah lima tahun bekerja di kilang dan sudah berumah tangga serta dijangka menyambut anak sulung Ogos depan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, pihaknya menerima panggilan dari pondok polis Hospital Melaka berhubung kejadian pada 2.30 petang semalam.

"Siasatan mendapati mangsa dipercayai mencuba mengelak binatang dipercayai babi hutan yang melintas jalan sebelum terbabas sendiri," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen Sek 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya berhati-hati ketika melalui jalan di luar bandar bagi mengelak daripada terlanggar haiwan liar melintas jalan," katanya.