Skip to main content

Pegawai, anggota ATM ditahan curi lembu

Suspek yang disyaki terlibat dengan kecurian lembu.

JOHOR BAHRU - Polis Johor menahan lapan lelaki termasuk seorang pegawai dan tiga anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana disyaki mencuri 23 lembu yang dilaporkan hilang pada 16 Mei dan semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, turut diberkas dua anggota polis bantuan, seorang penjawat awam dan seorang orang awam.

Katanya, mereka yang ditahan berusia 37 hingga 48 tahun di lokasi berbeza antara jam 1 pagi hingga 7.30 pagi hari ini.

"Penahanan kesemua suspek terbabit dilakukan sepasukan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai membuat serbuan di lapan lokasi berasingan di Kulai, Pontian, Skudai dan Johor Bharu.

Peralatan digunakan suspek untuk mencuri lembu.

"Hasil daripada serbuan itu, selaras senapang patah, sebuah kenderaan pacuan empat roda76 butir peluru senapang patah, dua kelongsong peluru senapang patah, dua bilah kapak serta empat bilah pisau kecil, empat bilah mata pisau serta tiga bilah parang dirampas.

"Turut dirampas sebuah peti sejuk beku yang mengandungi bungkusan plastik berisi daging lembu, satu batu asah, Dua lampu suluh kepala, tiga lampu tuju (spot light), lima gulung tali plastik pelbagai saiz sebuah motosikal, sebuah beg galas hitam dan lapan buah telefon bimbit," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, kesemua suspek direman tiga hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.