--> Skip to main content

Pasar tani di NS dijangka beroperasi semula bulan depan

PASAR TANI di Negeri Sembilan dijangka beroperasi semula bulan depan namun buat permulaan, hanya sebuah pasar tani dibenarkan di setiap daerah sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Makanan negeri Bakri Sawir berkata, permohonan mengenai operasi pasar tani kendalian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu sudah dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negeri (MKN).

"Saya akan bawa perkara ini untuk dibincangkan pada mesyuarat EXCO akan datang. Kemungkinan tiada masalah untuk pasar tani di negeri ini memulakan operasi bulan depan, namun kita hanya akan benarkan satu pasar tani dibuka di setiap daerah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Bakri berkata, SOP ketat perlu dilakukan kerana pihaknya tidak mahu kluster baharu Covid-19 tercetus di pasar tani.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang berkata, pihaknya akan meneliti terlebih dulu perjalanan sesuatu pasar tani sebelum kebenaran diberikan kepada pembukaan lebih banyak pasar berkenaan.

"Pembukaan pasar tani amat dinantikan ramai usahawan kerana membolehkan mereka kembali berniaga sekali gus menjana kembali sumber pendapatan yang terjejas," katanya.