Skip to main content

Pantau laluan gajah, sekat PATI

IBU PEJABAT Polis Daerah (IPD) Sri Aman meneruskan sekatan jalan raya (SJR) selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan tumpuan sempadan Malaysia-Indonesia dalam Op Benteng Covid-19 yang bermula semalam.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superintendan Bingkok John berkata, tumpuan SJR difokuskan di simpang Kampung Entebar / Tintikah, Pekan Batu Lintang, Sri Aman bagi menyekat Pendatang Asing Tanpa Izin(PATI) membolosi negeri ini.

"Terdapat dua laluan gajah dan satu jalan tikus dikenal pasti di kawasan Pekan Batu Lintang ini yang menjadi laluan utama kemasukan PATI ke Sarawak.

"Setakat ini belum ada kemasukan PATI melalui laluan itu sejak SJR dilaksanakan," katanya selepas melawat SJR terbabit, malam tadi.

Menjelas lanjut, katanya SJR itu dilaksanakan selaras keputusan yang dibuat mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

"Tujuan utama adalah bagi mengekang kemasukan PATI ke Daerah Sri Aman.

"SJR ini juga dapat mencegah kegiatan jenayah rentas sempadan dan aktiviti penyeludupan," katanya.