Skip to main content

Paduan suara serasi

KESERASIAN dua anak seni ini diibaratkan merpati dua sejoli.

Sama cantik, sama padan, begitu gandingan mantap Ariff Bahran dan Sarah Suhairi ketika menyanyikan lagu duet Bicara Rasa yang mendapat sambutan baik peminat.

Persahabatan yang terjalin memberikan kelebihan kepada mereka untuk mencipta keharmonian dalam lagu duet yang dibawakan.

Siapa sangka, selepas Bicara Rasa mencatat jumlah tontonan lebih 5.1 juta di YouTube, dua figura ini juga pernah tampil dengan lagu raya duet berjudul Selamat Berhari Raya.

Mengakui hubungan yang dibina sekadar kawan walaupun pernah digosipkan bercinta sebelum ini, namun Sarah mengakui sudah lama mengenali Ariff sebagai kawan.

"Gandingan kami mula menjadi bualan ramai ketika kami berpadu suara dalam sebuah program realiti. Disebabkan itu, mungkin ramai melihat keserasian kami ketika menyampaikan lagu duet.

"Ramai yang beritahu suara kami sesuai untuk bergandingan dan saya sendiri akui selesa ketika sama-sama menyanyikan lagu Bicara Rasa.

"Kemudian kami bekerjasama dalam projek duet untuk lagu raya yang dihasilkan Rudy Kasmara dan Sang Hitam yang dilancarkan tahun lalu," katanya.

SELESA ketika sama-sama menyanyikan lagu Bicara Rasa. SELESA ketika sama-sama menyanyikan lagu Bicara Rasa.

Sarah berkata, barangkali bernaung di bawah syarikat pengurusan yang sama iaitu Rusa Music membuatkan mereka mudah bekerjasama dan berbincang dalam memberikan lagu yang terbaik.

"Dari segi keselesaan, kami berdua mengenali satu sama lain sejak 2018 dan boleh dikatakan rapat kerana kami berdua berada dalam syarikat pengurusan sama, lebih mudah untuk bekerjasama dalam melakukan pojek duet terutama membabitkan kerja promosi, rakaman dan persembahan.

"Saya barap gandingan ini akan memberi satu keunikan dan berjaya menambat hati ramai," katanya.

Bagi Bahran, dia tidak menyangka lagu Bicara Rasa mendapat sambutan luar biasa, sekali gus menerima komen positif peminat.

"Alhamdulillah saya bersyukur apabila buah tangan ini mendapat maklum balas positif daripada pendengar. Rata-rata menyukai gandingan ini.

"Saya dan Sarah tiada masalah untuk bekerjasama memandangkan kami sudah lama kenal dan rapat sebagai kawan. Saya pun kalau ada idea atau apa-apa perkara mengenai muzik suka berkongsi dengannya.

"Ketika lagu Bicara Rasa dirakam kami sangat menyukai lagu ini. Malah, apa yang terbaik untuk perjalanan karier saya akan memberikan sepenuh komitmen," katanya.

BERSYUKUR mendapat maklum balas positif daripada pendengar. BERSYUKUR mendapat maklum balas positif daripada pendengar.

Menurut Bahran, dia menyifatkan gandingan mereka menjadi sebutan kerana bertuah mendapat lagu yang padan dengan suara mereka.

"Bagi saya, lagu ini memberi kelebihan kepada diri saya kerana penyampaiannya sesuai dengan tona suara saya dan Sarah.

"Kalau ada rezeki dan lagu yang memberi impak saya tiada masalah untuk berduet lagi dengan Sarah. Namun buat masa ini saya nak fokus untuk penghasilan single balada. Saya sudah lama tidak keluarkan single balada,"katanya.

Tak seronok raya, tapi bersyukur

Bercerita mengenai sambutan Aidilfitri, Sarah dan Bahran mengakui perayaan kali ini memberi pengertian berbeza kepada mereka.

Bagi Sarah, Aidilfitri tahun ini memberi dia ruang untuk lebih mensyukuri segala nikmat dan peluang yang Tuhan berikan.

"Sambutan Aidilfitri tahun ini bukan pengalaman yang paling manis jika nak dibandingkan dengan tahun-tahun lalu.

"Tapi, ia mengajar saya erti menghargai dan syukur kerana walaupun kita dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), saya masih dapat beraya bersama keluarga.

"Mungkin masih ramai keluarga di luar sana terpisah disebabkan pekerjaan dan yang masih belajar, jadi Sarah sangat bersyukur kerana dapat beraya bersama keluarga," katanya.

MENGAKUI hubungan yang dibina sekadar kawan walaupun pernah digosipkan bercinta. MENGAKUI hubungan yang dibina sekadar kawan walaupun pernah digosipkan bercinta.

Lain pula cerita Bahran yang mengakui Aidilfitiri tahun ini memberi dia kesempatan untuk lebih memberi tumpuan kepada ahli keluarganya.

"Saya gunakan PKPB yang dilaksanakan bagi membendung wabak Covid-19 sebagai satu kesempatan untuk menggunakan masa yang ada ini dengan ahli keluarga.

"Saya tidak ke mana-mana sepanjang Aidilfitri ini melainkan duduk di rumah bersama ahli keluarga. Walaupun kampung saya hanya di Sungai Buloh dan Hulu Langat, tapi mengenangkan keadaan sekarang yang tidak mengizinkan kami sekeluarga nekad menyambut Aidilfitri di rumah.

"Selain buat lagu di rumah, saya juga habiskan masa bersama adik-beradik lain. Sebagai anak sulung saya perlu bersama adik yang masih kecil," katanya.