Skip to main content

Padah tipu timbang

PADAH menipu sukatan dalam timbangan barangan runcit ketika berniaga, seorang pengusaha runcit di Kampung Kubang Badak di Arau dikompaun oleh anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis, kelmarin.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Perlis, Mohamad Amir Abdullah berkata, peniaga berusia 30-an terbabit antara 11 peniaga yang dikenakan tindakan mengikut Akta Timbang Dan Sukat 1972 dan Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan dalam Operasi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2020 bermula 20 Mei hingga 3 Jun lalu.

Menurutnya, pihaknya menerima aduan dan rungutan awam berhubung tindakannya yang dilihat meragukan khususnya ketika menimbang sayuran dan beberapa barangan runcit lain.

"Orang awam mengadu barangan yang dibeli mereka seakan kurang daripada berat timbangan asal selain tindakannya menyediakan produk yang tersedia dibungkus setiap kali menjual kepada pelanggan mencurigakan.

"Selain itu, pelanggan juga mengesyaki akan tindakan penipuan itu kerana mendakwa tidak pernah melihat proses menimbang secara bersemuka oleh peniaga memandangkan alat penimbang tidak disediakan di premisnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamad Amir berkata, pihaknya menyerbu kedai terbabit dengan membawa peralatan menimbang dan melakukan proses timbang di hadapan pengusaha berkenaan.

"Pada mulanya dia mengaku sudah melakukan proses timbang menggunakan alat timbang miliknya, namun selepas diperiksa alat timbang yang digunakannya kelihatan mencurigakan selain tarikh sah penggunaannya juga luput.

"Selepas pemeriksaan alat timbang dilakukan, kita mendapati berlaku penipuan dalam sukatan dan dia diberikan notis kompaun serta didenda serta-merta," katanya.

Sepanjang operasi itu berlangsung sebanyak 456 premis perniagaan meliputi peringkat runcit dan borong diperiksa dengan jumlah kompaun keseluruhannya adalah sebanyak RM5,500.