--> Skip to main content

Orang Asli Batik mula pulang ke rumah

[email protected].

YAKIN penularan Covid-19 semakin pulih, Orang Asli Batik di Kampung Kuala Koh, dekat Gua Musang yang lari tinggal di hutan sebelum ini, mula pulang ke rumah, hari ini.

Bagaimanapun, seorang penduduk Orang Asli Batik kampung itu, Papan Majid, 45, berkata, belum semuanya penduduk pulang ke rumah mereka.

Sebaliknya, katanya, masih ramai penduduk kaum itu tinggal di merata tempat di kawasan hutan kerana kebimbangan penularan wabak Covid-19.

"Ada di antara mereka berpindah sehingga lima kali sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

"Hanya selepas kerajaan umumkan PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) Rabu lalu, sudah ada mula pulang ke rumah, tetapi mungkin tidak lama dan berpindah semula ke hutan.

"Kami memang takut wabak Covid-19 kerana pernah berdepan wabak demam campak Jun tahun lalu menyebabkan 15 Orang Asli di kampung ini meninggal dunia," katanya.

Papan berkata, dia sendiri kehilangan dua anak perempuan dalam tragedi demam campak itu dan hingga sekarang masih teringatkan mereka.

Katanya, trauma dengan tragedi itu menyebabkan Orang Asli termasuk jarang tinggal di rumah dan lebih banyak masa dihabiskan dengan tinggal di hutan.

Seorang lagi penduduk Orang Asli, Pikas Langsat, 35, berkata, dia pernah dikuarantin sebulan berikutan wabak demam campak tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, wabak Covid-19 lebih bahaya berbanding demam campak menyebabkan dia dan keluarganya mencari tempat perlindungan baharu di hutan.