--> Skip to main content

Nestle peruntuk RM15 juta bantu rakyat Malaysia

Nestle Malaysia menerusi program bantuan Nestle Cares Covid-19 menghulurkan sumbangan berupa MAGGI bubur lambuk dan pek makanan kepada golongan yang memerlukan

PETALING JAYA - Nestle Malaysia memperuntukkan sebanyak RM15 juta bagi membantu kerajaan memerangi pandemik koronavirus (Covid-19) di negara ini.

Peruntukan yang disalurkan di bawah inisiatif Nestle Cares itu termasuk agihan lebih 120,000 mangkuk MAGGI bubur lambuk berserta 20,000 pek makanan dan minuman Nestle kepada golongan yang memerlukan serta petugas barisan hadapan sepanjang Ramadan.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestle (Malaysia) Berhad, Juan Aranols berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada sumbangan RM15 juta bagi membantu golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40), pelajar, rumah-rumah kebajikan dan petugas-petugas barisan hadapan.

Sumbangan turut diagihkan kepada petugas barisan hadapan yang memainkan peranan penting memastikan negara bebas Covid- 19.

"Ini adalah komitmen kami untuk menyokong masyarakat yang memerlukan sebagai sebahagian daripada program bantuan Nestle Cares Covid-19," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Perniagaan MAGGI, Nestle (Malaysia) Berhad, Geetha Balakrishna berkata, pihaknya bertuah kerana dapat mengagihkan makanan berkhasiat kepada rakyat Malaysia.

Lebih 120,000 mangkuk MAGGI bubur lambuk dan 20,000 pek makanan diagihkan kepada golongan memerlukan serta petugas barisan hadapan sepanjang Ramadan lalu.

"Ia adalah tradisi yang diamalkan MAGGI sejak bertahun-tahun lamanya untuk mengagihkan makanan tradisional MAGGI bubur lambuk kepada orang ramai untuk berbuka puasa pada bulan Ramadan," katanya.