Skip to main content

Nelayan Sandakan bakal terima manfaat pembinaan Kompleks Perikanan LKIM

SANDAKAN: Daerah ini bakal menerima Kompleks Perikanan yang bakal memberi manfaat kepada golongan nelayan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Dr Ronald Kiandee berkata, perkara itu kini sudah dalam peringkat kajian tapak pembinaan.

Menurutnya, infrastruktur itu sangat penting untuk menampung keperluan nelayan yang sangat ramai di kawasan Sandakan.

"Hari ini kita melihat tapak tanah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang dicadangkan untuk membina jeti pendaratan ikan yang lengkap dengan kemudahan asas bagi sebuah jeti pendaratan ikan.

"Tentu sekali ini akan jadi perancangan pada peringkat kajian ketika ini...dan akan dilihat keutamaannya dalam perancangan LKIM bagi Rancangan Malaysia ke-12 yang akan bermula tahun depan.

"Saya melihat keperluan untuk sebuah jeti yang lengkap untuk menampung keperluan nelayan yang ramai di daerah Sandakan ini dan dijangka ribuan nelayan akan menerima impak positif kerana lebih 1000 bot akan mendarat di kompleks perikanan ini nanti," katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Sandakan, pada Ahad.

Ronald turut melawat tapak cadangan pembinaan kompleks terbabit.

Menurutnya, daerah Sandakan sebuah bandar yang penting dari segi industri perikanan penangkapan ikan Sabah.

"Justeru itu, tentu sekali kemudahan jeti yang baik, kemudahan pendaratan bagi hasil-hasil laut ini perlu ditingkatkan bagi menampung keperluan nelayan," katanya," katanya.

Tapak berkenaan berkiasan 20 ekar dan terletak di kawasan Tanah Merah, Sandakan.

Lokasi terbabit dilihat sangat strategik kerana terletak di tepi laut.