Skip to main content

Nelayan hilang empat hari ditemui tergantung

NELAYAN yang dilaporkan hilang sejak empat hari lalu ditemui tergantung di dahan pokok di Bukit Damar, Pantai Merdeka, Sungai Petani, hari ini.

Lelaki berusia 34 tahun itu ditemui pasukan mencari terdiri daripada anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan penduduk kampung pada 11.20 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, pihaknya dimaklumkan mangsa sering ke kawasan bukit berkenaan yang terletak di belakang rumahnya.

"Mangsa dikatakan tidak pulang sejak empat hari lalu sebelum keluarganya membuat laporan polis pada 12.12 tengah hari semalam.

"Gerakan mencari mangsa dilakukan sejak petang semalam sehingga hari ini sebelum pasukan penyelamat menemui mangsa dalam keadaan tergantung dengan seutas tali pada dahan pokok," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsudin berkata, mangsa disahkan sudah meninggal dunia oleh kakitangan perubatan. Beliau berkata, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia dalam tempoh dua hingga tiga hari berdasarkan keadaan fizikalnya yang sudah kembung.

Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kematian mangsa tidak mengandungi unsur jenayah.

"Kawasan mangsa ditemui sukar dilalui kerana berbukit dan curam serta dikelilingi hutan.

"Mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.