Skip to main content

Nelayan hilang ditemui tergantung di atas bukit

SUNGAI PETANI: Misteri kehilangan seorang nelayan di kawasan Bukit Damar, Jalan Kampung Merdeka, Tikam Batu, pada Rabu terungkai apabila ditemui mati tergantung pada sebatang pokok, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Shamsudin Mamat, berkata mayat lelaki yang berusia 34 tahun itu ditemui sekitar jam 2 petang tadi.

Mayat kemudiannya dibawa turun dari kawasan bukit itu dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Gerakan mencari lelaki itu oleh pasukan polis, bomba dan penduduk kampung dimulakan jam 2 petang Rabu selepas bapanya membuat laporan kehilangannya.

Operasi pencarian terpaksa dihentikan pada jam 6 petang akibat cuaca gelap sebelum disambung semula pada jam 9 pagi tadi.

Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.

Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi kepada para sukarelawan terlatih di Befrienders.

Befrienders adalah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956 8145/8144 atau e-mel kepada sam@befrienders.org.my untuk bantuan.

Panggilan adalah percuma bermula 1 Ogos 2019.