Skip to main content

MyDigi Bazaar peluang akses 11 juta pelanggan

DIGI Telecommunications Sdn Bhd (Digi) mempelawa perniagaan kecil tempatan menyertai MyDigi Bazaar, kategori baharu diperkenalkan menerusi MyDigi Rewards.

Ketua Pasukan Ekosistem dan Perkongsian MyDigi, Lareina Ong berkata, MyDigi Bazaar adalah usaha menghubungkan perniagaan kecil kepada 11 juta pelanggannya, sekali gus membolehkan produk dan perkhidmatan mereka disenaraikan di aplikasi MyDigi sebagai platform pemasaran alternatif bagi mencapai audiens lebih besar.

"Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami sedar perniagaan kecil tempatan yang ada kemampuan e-dagang terhad paling terjejas.

"Ini disebabkan cabaran untuk perniagaan mereka lebih disedari atau diketahui dalam keadaan terlalu banyak pilihan tersedia dalam talian.

"Pengenalan MyDigi Bazaar memberi peluang perniagaan kecil menyertai MyDigi Rewards dan mengakses 11 juta pelanggan Digi," katanya, semalam.

"Kami gembira dapat memberikan tawaran baharu kepada pelanggan di samping menyokong perniagaan tempatan," katanya, semalam.

Katanya, perniagaan daripada semua kategori boleh memohon untuk disenaraikan di aplikasi itu tanpa perlu membayar fi komisyen atau penyenaraian.

MyDigi Bazaar membolehkan perniagaan kecil ini lebih menonjol dan lebih diketahui pelanggan baharu di seluruh Malaysia tanpa perlu melabur untuk berada dalam talian.

"Selepas mereka berjaya berdaftar sebagai peniaga di MyDigi Bazaar, pemilik peniagaan akan dapat menyenaraikan pilihan produk atau perkhidmatan mereka di aplikasi MyDigi di bawah kategori MyDigi Bazaar, yang ditampilkan sebagai ciri di laman MyDigi Rewards," katanya.

Pelanggan yang berminat untuk membeli daripada mana-mana peniaga ini akan dibawa bagi memuat turun baucar dengan kod khusus, dan kemudian dihubungkan terus ke WhatsApp peniaga untuk membuat pesanan mereka.

MyDigi Rewards adalah platform ganjaran gaya hidup Digi, yang menawarkan tawaran menarik daripada jenama pilihan Malaysia dalam kategori antaranya makanan dan minuman, beli-belah, pelancongan, hiburan serta kesihatan dan kesejahteraan kepada pelanggan.

Pelanggan Digi boleh menikmati tawaran MyDigi Rewards terkini melalui versi terbaru MyDigi App, yang boleh dimuat turun dari App Store atau Google Playstore.