Skip to main content

Mun Yee risau terjunan tak mantap

PENERJUN negara, Leong Mun Yee meluahkan rasa bimbang dan berpendapat memerlukan kira-kira enam bulan untuk mencapai kembali kemuncak prestasi selepas hampir tiga bulan tidak turun menjalani latihan.

Atas sebab itu, pemenang 17 pingat emas Sukan Sea itu sudah tidak sabar untuk kembali ke kolam renang dan melaporkan diri di Kem Latihan Pusat Road To Tokyo (RTT) di Majlis Sukan Negara (MSN), Isnin ini.

Katanya, dia sudah bersedia menghadapi prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan oleh MSN dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Malah, tindakan mengasingkan atlet selama sebulan tanpa dibenarkan keluar daripada kem latihan pusat itu adalah tepat bagi memastikan keselamatan atlet terjamin dan tidak terdedah dengan sebarang jangkitan Covid-19.

Pemenang satu pingat perak dan dua gangsa di Kejohanan Dunia itu berkata, dia kini sudah tidak sabar untuk kembali ke kolam dan berharap semua akan berjalan lancar selepas hampir tiga bulan berada di rumah.

"Saya tidak mempunyai masalah untuk SOP ketat. Saya okey saja sebab yang penting sekarang adalah latihan. Saya sendiri tidak pasti berapa lama masa yang diperlukan untuk kembali ke

puncak prestasi sebab sudah lama tidak turun berlatih. Mungkin memerlukan dua tiga bulan ataupun setengah tahun," katanya yang mengalami pengurangan berat badan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.