Skip to main content

Mudah tunai masih kukuh, kerajaan tiada hasrat pinjam dari negara luar - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz menjelaskan bahawa tiada pinjaman luar akan dibuat oleh kerajaan bagi membiayai inisiatif RM295 billion yang diumumkan untuk merancakkan kembali ekonomi dan membantu rakyat susulan pandemik COVID-19.

Sebaliknya kerajaan akan meminjam sebanyak RM35 bilion dari pasaran tempatan bagi membiayai inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) seperti yang diumumkan sebelum ini.

Kecairan pasaran dalam negara juga katanya dilihat masih  kukuh ketika ini.

"Kita meminjam daripada dalam negara, kecairan pasaran dalam negara bukan meminjam dari mata wang asing. Malah kecairan pasaran tempatan hari ini menyaksikan tidak ada alasan untuk kita meminjam mata wang asing.

"Had kita adalah RM35 billion ringgit, sekarang jumlah yang kita boleh pinjam 15 peratus tetapi kecairan pasaran dalam negara amat kuat jadi tidak perlu kita meminjam bon dari luar.

"Suntikan Fiskal yang kita umumkan sebelum ini sebanyak RM45 billion, jadi jika ditanya berapa jumlah yang kita boleh pinjam adalah sebanyak RM35 billion jika pasaran tempatan begitu kukuh.

"Kadar pinjaman ketika ini sangat murah apabila polisi kewangan diumumkan Bank Negara telah menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 50 mata asas.  Jadi kita boleh meminjam daripada pasaran tempatan, adakah kita minta dividen istimewa daripada Petronas? Tidak ada," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada Jumaat.