Skip to main content

MPT Bersatu sokong Muhyiddin sebagai pemangku Pengerusi dan Perdana Menteri

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berlangsung malam tadi bersetuju mengiktiraf Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pemangku Pengerusi parti itu.

Setiausaha Agung parti Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam satu kenyataan hari ini berkata, pengiktirafan itu selaras Fasal 16.9 Perlembagaan Bersatu.

Jelasnya, klausa itu terpakai susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi parti itu pada 24 Februari lalu.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, MPT juga bersetuju menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-8 selepas dilantik Yang Dipertuan Agong berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

"Selain daripada itu, mesyuarat MPT juga mengesahkan bahawa keputusan untuk Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan (PH) telah dimuktamadkan pada mesyuarat MPT bertarikh 23 Feb 2020.

"Dan, pengumuman rasmi yang dibuat Muhyiddin selaku pemangku Pengerusi pada 24 Februari adalah sah dan teratur," katanya lagi.

Dalam kenyataan itu, Hamzah turut memaklumkan, keputusan Bersatu keluar dari PH adalah sah dan telah dimuktamadkan pada mesyuarat MPT bertarikh 23 Feb 2020.