Skip to main content

Mohon kebenaran penyokong ke stadium

PENGENDALI Kuala Lumpur, Nidzam Adzha Yusoff berharap penonton akan diberi lampu hijau untuk hadir ke stadium menyaksikan perlawanan meskipun dalam bilangan yang kecil sebaik sahaja Liga Malaysia kembali bersambung.

Jelasnya, tidak mustahil seandainya penyokong diberi peluang untuk hadir ke stadium sepertimana bahagian sektor lain yang diberi kebenaran untuk dibuka seperti panggung wayang dan sebagainya yang memerlukan kehadiran orang awam.

Tambah bekas pengendali Kedah itu, ia bukan bermakna stadium akan dibanjiri ribuan penyokong seperti sebelum ini, tetapi sekurang-kurangnya biarlah dalam skala yang lebih kecil dan tetap melakukan penjarakan sosial di tempat duduk penonton.

"Saya setuju sekiranya penyokong dibenarkan hadir ke stadium tetapi biarlah dalam skala yang kecil dahulu dan secara berperingkat.

"Sebagai contoh kalau di tempat duduk Grandstand boleh ditempatkan 500 orang, mungkin untuk sekarang ini boleh benarkan hanya 100 orang dahulu untuk permulaan dan tetap utamakan penjarakan sosial.

"SOP (prosedur operasi standard) ini sama juga macam di lain-lain tempat seperti ke masjid, kedai makan, pusat membeli belah dan sebagainya.

"Sebagai bekas pemain dan kini bergelar jurulatih, sudah tentu kehadiran penyokong cukup penting dalam menyemarakkan semangat pemain di atas padang," katanya.

Skuad The City Boys ini sudah mendapat kelulusan daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk kembali berlatih dan mereka akan memulakan latihan pada Isnin depan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras (KLFA).

Jelas Nidzam, beliau mengakui pasukan agak terlewat untuk memulakan latihan tetapi tetap positif mampu untuk menguasai corak latihan dalam tempoh yang ada ini sebelum liga dijangka bermula pada September depan.

"Latihan akan dibuat di Stadium KLFA sepanjang tempoh PKPP ini dengan kami bercadang ingin membawa masuk lima pemain daripada Piala Presiden bagi mencukupkan bilangan pemain seramai 30 orang yang akan dipecahkan kepada tiga kumpulan," katanya.