Skip to main content

Mohd Ali angkat sumpah sebagai TYT

TUN Mohd Ali Rustam hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka di Balai Istiadat, Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.

Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Menandatangani Surat Cara Sumpah Jawatan Yang di-Pertua Negeri Melaka itu bermula pada 10.10 pagi.

Mohd Ali, 70, yang juga Ketua Menteri Melaka Kesembilan diiringi isterinya Toh Puan Asmah Abdul Rahman, 64.

Terdahulu, pengisytiharan jawatan Yang di-Pertua Negeri Melaka itu disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Seri Hasim Hasan.

Mohd Ali kemudian mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani surat cara sumpah jawatan Yang di-Pertua Negeri Melaka.

Ketua Menteri Melaka Datuk Sulaiman Md Ali kemudian menyampaikan ucapan diikuti ucapan taat setia, sebelum Mohd Ali buat julung kalinya menyampaikan ucapan sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka.

Mohd Ali kemudian beredar meninggalkan majlis pada 11 pagi dan dijadual menghadiri majlis serah tugas Yang di-Pertua Negeri Melaka di Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka.

Hadir pada istiadat itu ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lim Ban Hong.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Ketua Menteri Melaka Ke-10 Datuk Seri Idris Haron, dan Ketua Menteri Melaka Ke-11 Adly Zahari.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Watikah Pelantikan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka ketujuh kepada Mohd Ali pada majlis di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Mohd Ali menggantikan Tun Dr Mohd Khalil Yaakob yang tamat tempoh jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka semalam.