Skip to main content

Mesyuarat secara maya bincang acara Sukan SEA 2021

KUALA LUMPUR: Jumlah acara dan venue pertandingan Sukan SEA 2021 di Vietnam dijangka diketahui selepas mesyuarat secara maya membabitkan 11 ahli gabungan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) pada 22 Julai ini.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata mesyuarat pertama itu akan membincangkan hala tuju menyeluruh mengenai penganjuran temasya dwitahunan itu.

"Sebelum permulaan satu-satunya Sukan SEA, negara tuan rumah akan memanggil semua untuk bermesyuarat. Ini terdiri daripada ahli majlis, exco peraturan dan sukan, jawatankuasa peraturan dan sukan, wanita dan sukan dan perubatan dan anti doping.

"Vietnam pada mulanya mahu menganjurkan mesyuarat secara fizikal pada Julai - sebelum COVID-19 - dan selepas itu kita dimaklumkan dengan satu notis mesyuarat secara maya pada 22 dan 23 Julai.

"Daripada situ, kita akan tahu bagaimana persediaan tuan rumah dan yang kedua, sukan yang dicadangkan tuan rumah. Kita juga bersedia untuk melihat manakah sukan untuk kita pertahankan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif MOM ke-20, hari ini.

Temasya Sukan SEA Vietnam dijadual berlangsung dari 21 November hingga 2 Disember 2021.

Norza turut berkata, MOM akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Majlis Sukan Negara (MSN) untuk meneliti potensi sukan yang akan disertai dan yang perlu diberi keutamaan.

"Kita akan berbincang dengan MSN, mana program yang diteruskan, mana sukan yang kita nak letak sebagai keutamaan. Kita juga tahu, Vietnam takkan sama dengan Filipina kerana Vietnam sudah memaklumkan kepada kita yang fokus mereka adalah sukan di Olimpik.

"Namun, semuanya bergantung kepada mesyuarat nanti. Kita tengok apa yang akan dibincangkan nanti. Buat masa ini, jangan dispekulasikan dan mesyuarat ini juga adalah yang pertama dianjurkan," katanya.