Skip to main content

Mesyuarat Bersatu sertai Muafakat Nasional dijangka malam ini

KUALA LUMPUR - Satu mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO didakwa akan diadakan malam ini bagi memutuskan cadangan menerima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyertai Muafakat Nasional dalam masa terdekat.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata, mesyuarat itu turut dijangka mempertimbangkan kemungkinan melantik Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu sebagai Pengerusi Muafakat Nasional yang dianggotai UMNO dan Pas ketika ini.

Menurutnya, kemungkinan cadangan itu sekali gus mengangkat Muhyiddin untuk kembali menjadi Perdana Menteri pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Beliau turut mendakwa usaha Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mengekalkan kuasa politik dalam parti itu dengan membawa kembali Muhyiddin dan ahli Bersatu lain menyertai UMNO ditolak oleh Ahli Parlimen Pagoh itu.

"Yang saya difahamkan Muhyiddin didakwa menolak cadangan Presiden UMNO yang mengajak beliau menyertai parti itu semula kerana dia bukan orang bodoh. Dia tahu dia masuk UMNO, ada kemungkinan dia tewas dalam pemilihan UMNO.

"Saya turut difahamkan akan ada mesyuarat ahli MT UMNO pada malam ini bagi mempertimbangkan keputusan Bersatu hendak diterima masuk ke dalam Muafakat Nasional.

"Jika ahli MT UMNO memutuskan perkara itu, Muhyiddin akhirnya akan diangkat menjadi Pengerusi Muafakat Nasional dan akhirnya diangkat menjadi Perdana Menteri di bawah pakatan itu pada PRU15," katanya sewaktu bersiaran langsung melalui laman Facebook beliau hari ini.

Lokman berkata, sekiranya kepimpinan MT UMNO menerima Bersatu dalam Muafakat Nasional, ia dianggap keputusan mengecewakan kerana situasi ini akan menyebabkan dominasi UMNO dalam politik tanah air akan berakhir.

Menurutnya, pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Barisan Nasional (BN) yang dianggotai UMNO berjaya memenangi sejumlah 79 kerusi ahli Parlimen sebagai entiti persendirian dengan 54 kerusi daripadanya dimenangi UMNO.

"Dengan senario 16 ahli Parlimen UMNO lompat parti dan menyertai Bersatu sebelum ini, sekiranya Bersatu menyertai Muafakat Nasional, adakah kerusi milik UMNO yang dimenangi ahli-ahli Parlimen yang masuk Bersatu akan dikekalkan kepada parti itu lagi?

"Apabila Muhyiddin dilantik sebagai Pengerusi Muafakat Nasional, sudah pasti beliau akan memperjuangkan kerusi untuk ahli-ahli Bersatu (apabila perbincangan pembahagian kerusi pilihan raya berlangsung kelak).

"Jadi, saya berharap ahli MT UMNO malam ini memikirkan kepentingan ahli parti kerana keputusan membenarkan Bersatu menyertai Muafakat Nasional akan menyebabkan riwayat UMNO akan berakhir," katanya.

Lokman turut mendakwa PRU15 dijangka akan diadakan pada bulan November hadapan dengan Bersatu akan bertanding pilihan raya di bawah kerjasama Muafakat Nasional dan memakai logo BN.

Menurutnya, sekiranya kepimpinan UMNO terus tunduk kepada Bersatu yang merupakan parti lebih kecil, lebih baik ahli-ahli UMNO keluar parti dan masuk Bersatu.

"Sekiranya hari ini ahli MT UMNO ambil keputusan untuk menyerahkan nasib UMNO di tangan Bersatu, saya rasa lebih baik ahli UMNO keluar UMNO dan masuk Bersatu.

"UMNO ada 39 ahli Parlimen iaitu jumlah paling besar, tetapi terpaksa bagi Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. Kalau macam ini rupa kepimpinan UMNO yang ada, kalau mereka jual UMNO kepada Bersatu, lebih baik ahli UMNO berketuakan Muhyiddin," katanya.

Teka-teki penyertaan Bersatu ke dalam Muafakat Nasional mula hangat apabila Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang penganalisis politik veteran, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain mendedahkan satu perbincangan sedang diadakan di antara dua pihak itu bagi tujuan itu.

Ahmad Atory berkata, perbincangan itu difahamkan sudah memasuki peringkat lebih serius apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedang menimbang kemungkinan memberi laluan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengekalkan jawatan itu meskipun beliau kembali menyertai UMNO kelak.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin Bersatu menafikan dakwaan itu, sebaliknya menegaskan spekulasi itu hanya tercetus setelah Ahmad Zahid bertindak mempelawa Muhyiddin menyertai UMNO dan bukan atas kehendak Muhyiddin.

Desas-desus penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional kembali panas setelah kepimpinan UMNO menjelaskan usaha pendaftaran Perikatan Nasional (PN) sebagai sebuah entiti pakatan politik tidak perlu tergesa-gesa.

Kerajaan PN terbentuk setelah Muhyiddin disahkan mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen terdiri Bersatu, BN, Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan kumpulan ahli Parlimen keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) diketuai bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.