Skip to main content

Menteri Pengangkutan Singapura bersara daripada politik menjelang PRU 2020

SINGAPURA: Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan menurut jejak Menteri Kanan Emeritus, Goh Chok Tong dengan bersara daripada politik menjelang pilihan raya umum (PRU) republik itu bulan depan.

Khaw, 67, yang juga Menteri Penyelarasan bagi Infrastruktur republik itu, telah memaklumkan tentang persaraannya kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Dalam kemas kini terbaharu laman Facebooknya, Lee berkata beliau telah menyampaikan surat perpisahan kepada Khaw, seorang lagi rakan seperjuangan rapatnya.

"Beliau berada dalam Kabinet saya sejak awal dan dengan rasa sedih saya menerima persaraan beliau menjelang PRU ini," kata Lee dalam hantaran itu.

Menurut Perdana Menteri Singapura itu, Khaw yang menyertai politik pada 2001 memberi sumbangan besar kepada negara tersebut.

"Beliau meninggalkan tanggapan yang mendalam dalam kalangan mereka yang pernah bekerja dengannya termasuk saya sendiri selaku sahabat baik.

"Malah, Boon Wan yang mencadangkan kepada saya pada 2012 agar berjinak-jinak dengan media sosial. Tanpa cadangan beliau, anda mungkin tidak dapat membaca catatan ini dalam laman FB saya," kata Lee.

Lee yang turut mengiktiraf peranan Khaw dalam beberapa kementerian juga berkata tiada tugas yang menggentarkan Khaw.

"Beliau berada di Kementerian Kesihatan ketika penularan SARS (Sindrom Pernafasan Akut Teruk). Pengalaman berharga semasa SARS menyediakan kita untuk menangani COVID-19," kata Lee.

Lee berkata selaku Menteri Pengangkutan, disusuli sebagai Menteri Penyelarasan bagi Infrastruktur, Khaw mengendalikan antara cabaran terbesar beliau iaitu kebolehpercayaan sistem MRT.

Dalam surat perpisahannya, Lee mengetengahkan peranan Khaw dalam memuktamadkan rundingan berkaitan projek Sistem Rapid Transit Johor Bahru-Singapura dan Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura.

Bagi pihak seluruh warga Singapura, Lee mengucapkan terima kasih kepada Khaw atas semua yang telah dilakukannya dan mendoakan kesihatan yang baik serta mengucapkan selamat berehat.

-- BERNAMA