Skip to main content

Memang kakitangan dan van KKM lah...

ORANG ramai digesa menghentikan penyebaran video isu menyamar sebagai kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat pemeriksaan yang tersebar dua hari lalu di kawasan Bukit Subang, Shah Alam.

Ini berikutan dakwaan itu hanya salah faham sahaja memandangkan KKM mengesahkan individu terbabit adalah kakitangan mereka.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya sudah menerima laporan berhubung isu itu semalam.

"Polis menjalankan siasatan mendapati ia adalah salah faham antara pengadu dan pihak yang hadir di lokasi rumah pengadu, di mana nombor pendaftaran yang diviralkan adalah salah dan tidak tepat sehingga wujud kenderaan yang lain.

"Tiga orang individu yang diviralkan itu memang disahkan sebagai kakitangan KKM dan kenderaan itu adalah milik Kementerian Kesihatan Daerah Petaling.

"KKM sudah membuat laporan polis hari ini dan mengesahkan kehadiran pegawai KKM di lokasi bagi pemantauan PUI Covid-19, semalam, kira-kira 2.00 petang," katanya.

Justeru itu katanya, polis berharap semua pihak menghentikan sebarang penyebaran gambar dan viral berkaitan isu terbabit.