Skip to main content

MDSR benar pasar malam, pagi dibuka berperingkat

SIMPANG RENGGAM: Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) membenarkan pasar malam dan pagi beroperasi secara berperingkat di lokasi terpilih, tertakluk prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Lima lokasi dipilih untuk operasi pasar berkenaan mengikut masa ditetapkan dengan beberapa syarat serta arahan yang perlu dipatuhi peniaga dan syarat tambahan untuk pengunjung.

Yang Dipertua MDSR, Mohamad Sukry Abd Rahim, berkata lokasi pasar pagi adalah di kawasan Kompleks Industri Kecil Sederhana (IKS) Simpang Renggam pada setiap Jumaat, pada jam 6 hingga 11 pagi bermula 19 Jun lalu.

Beliau memaklumkan, lokasi lain untuk pasar pagi adalah di Jalan Stesyen, Renggam pada setiap Sabtu, mulai 6 hingga 11 pagi sejak 20 Jun.

Katanya, tiga pasar malam beroperasi jam 4 petang hingga 10 malam adalah di Bukit Keremoyang di Jalan Johor Bharu-Machap pada setiap Rabu mulai 24 Jun, manakala setiap Jumaat di Jalan Putri di Pekan Layang-Layang dan Taman Sri Lambak, Kluang, bermula 26 Jun.

"Syarat utama yang perlu dipatuhi peniaga adalah mereka mestilah warganegara Malaysia yang memiliki lesen perniagaan sah. Khidmat warganegara asing dalam aktiviti perniagaan dilarang sama sekali.

"Peniaga dan pekerja perlu menjalani pemeriksaan suhu badan dan mereka yang melebihi 37.5 darjah Celsius serta mempunyai gejala seperti batuk atau selesema tidak dibenarkan menjalankan perniagaan pada hari berkenaan.

"Peniaga dikehendaki memakai pelitup muka, apron pakai buang dan sarung tangan sepanjang masa ketika berada dalam kawasan pasar selain hanya tiga orang dibenarkan di dalam setiap gerai," katanya.

Pelanggan warga emas atau kanak-kanak bawah usia 12 tahun, katanya, tidak digalakkan berada di dalam pasar, tetapi jika berkunjung, perlu menjalani pemeriksaan suhu badan, memakai pelitup muka dan hanya meluangkan 30 minit untuk membeli-belah.

"Syarat-syarat lain sudah dimaklumkan serta diedarkan kepada peniaga. Pelanggan pula akan diberikan maklumat secara lisan apabila memasuki kawasan pasar,"katanya.