Skip to main content

MBSB Bank faham

MBSB Bank mengumumkan untuk tidak akan mengenakan sebarang kos yang berkaitan dengan moratorium automatik kerana kesan buruk akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada pengguna di Malaysia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Ahmad Zaini Othman berkata, bank itu memahami rakyat Malaysia kini bimbang mengenai kesihatan, pendapatan yang berkurangan dan ketidaktentuan yang berlanjutan.

Selepas moratorium selama enam bulan, MBSB Bank akan melanjutkan tempoh pembiayaan selama enam bulan lagi.

"Kecuali untuk akaun pembiayaan automatik, pelanggan tidak perlu memberikan persetujuan untuk lanjutan itu kerana harga jualan komoditi yang digunakan di bawah konsep Islam Tawarruq tidak berubah," katanya.

Ahmad Zaini berkata, pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang kini menikmati pembiayaan sewa perindustrian berdasarkan pembiayaan dengan kadar tetap juga akan mendapat keuntungan daripada langkah ini.

"Pelanggan juga dapat melanjutkan pembayaran bulanan yang sama selepas tamat moratorium. Hanya mereka yang ingin memilih keluar daripada moratorium itu perlu menghubungi MBSB Bank," katanya.

Beliau berkata, MBSB Bank mempunyai kekuatan modal untuk menampung kerugian pengubahsuaian itu sepenuhnya.

Sementara itu, MBSB Bank juga meningkatkan tawaran PKS melalui Program Khas Cashline-i yang baharu yang bertujuan membantu PKS mengekalkan perniagaan mereka dengan dana yang diperuntukkan sebanyak RM1 bilion.