Skip to main content

Mayat mangsa lemas ditemui

MAYAT seorang lagi mangsa lemas selepas bot nelayan dinaiki karam di kawasan perairan Muara Pantai Belawai, Sarikei, Sabtu lalu ditemui semalam.

Mayat Elfika Ahmad, 29, ditemui terapung di Sungai Bako, Tanjung Jerijih pada jam 8.30 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Tiong Ling Hii berkata, pengecaman dan pengesahan mayat mangsa dilakukan abangnya.

"Dengan penemuan mayat kedua ini, operasi SAR ditamatkan pada jam 10 pagi," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam, mayat Ibrahim Abang Rasidi, 52, yang juga Pengerusi Nelayan Kawasan Gerigat dijumpai dalam keadaan terapung berhampiran lokasi bot mereka dilaporkan karam oleh penduduk kampung pada jam 8.05 pagi.

Tiong berkata, dalam kejadian jam 7.30 malam, Sabtu lalu, bot dinaiki kedua-dua mangsa karam di kawasan perairan Muara Pantai Belawai ketika bergerak keluar ke laut bersama 11 bot lain.

"Kehilangan dua mangsa terbabit hanya disedari apabila bot-bot yang bergerak dalam kumpulan itu selamat sampai di jeti pada jam 9.30 malam," katanya.