Skip to main content

Masih tiada petunjuk ditemui

TIADA sebarang petunjuk ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua bagi mengesan warga emas dipercayai selepas disambar buaya di Sungai Sugut, Kampung Benang, Sugut di Beluran kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran Rastam Keladi berkata, SAR ditangguhkan pada 5.30 petang hari ini dan akan bersambung 7 pagi esok.

"Pasukan bomba dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), pasukan bomba sukarela, Jabatan Hidupan liar (JHL) sudah melakukan pencarian sekitar dua kilometer dari lokasi kejadian menghala hulu dan hilir sungai hari ini."

"Seramai 33 anggota pasukan SAR dan 30 penduduk kampung terbabit dalam usaha mengesan mangsa namun tiada sebarang petunjuk ditemui sehingga kini," katanya.

Menurutnya, sebanyak 12 bot digunakan termasuk milik penduduk kampung manakala JHL Sabah turut memasang pancing dan perangkap bagi mengesan reptilia terbabit.

"Sebarang maklumat terkini akan disampaikan dari semasa ke semasa," katanya.

Pada 9.36 malam kelmarin, pihak polis menerima panggilan kecemasan daripada seorang pengadu mengatakan mangsa yang juga ibunya, Peredot Kanon, 62, dilaporkan hilang kira-kira 6 petang pada hari sama selepas dipercayai disambar seekor buaya sebelum dibawa ke dasar sungai.

Mangsa dikatakan ke sungai bersama anaknya bagi tujuan mandi dan membasuh pakaian sebelum kejadian berlaku.

Berita berkaitan

• Nenek hilang disambar buaya