Skip to main content

Marina penjana duit Chelsea

PENGARAH Chelsea, Marina Granovskaia seorang perunding yang tegas tetapi bijak dan rekod perpindahan pemain kendaliannya menjadi bukti dakwaan itu.

Wanita kelahiran Russia-Kanada terbabit muncul personaliti paling dipercayai Roman Abramovich dan kemampuannya mengaut £175 juta (RM948 juta) hasil penjualan David Luiz, Oscar dan Alvaro Morata menjadikan popularitinya mengatasi pemilik Blues itu sendiri.

Sebelum Luiz berpindah ke Arsenal, Chelsea meraih £50 juta (RM270j) menerusi perpindahan pertahanan Brazil itu ke Paris Saint-Germain pada 2014 tetapi dia kembali semula ke Stamford Bridge dengan harga £34 juta (RM184j).

Walaupun berbakat, Luiz dianggap kurang berkesan oleh penyokong Chelsea dan seorang lagi yang tidak digemari penyokong mereka ialah Alvaro Morata. Selepas bermula cemerlang dengan sembilan gol dalam 14 perlawanan, prestasi dan keyakinannya mula merosot.

WALAUPUN dianggap salah seorang penyerang 'terburuk' dalam era moden Chelsea, Marina masih mampu menjual Morata dengan harga £58 juta. WALAUPUN dianggap salah seorang penyerang 'terburuk' dalam era moden Chelsea, Marina masih mampu menjual Morata dengan harga £58 juta.

Morata banyak memanaskan bangku simpanan namun Marina masih mampu meminjamkannya ke Atletico pada Januari 2019.

Selepas menjaringkan enam gol dalam 15 aksi La Liga kelab gergasi Sepanyol itu menandatanganinya pada musim panas dengan harga £58 juta (RM314j), hanya kurang £2 juta (RM10j) berbanding jumlah dibayar Blues untuk mendapatkannya dari Real Madrid pada 2017.

Seorang lagi pemain Brazil yang memberi keuntungan besar kepada Chelsea ialah Oscar yang berjaya dijual dengan harga £60 juta (RM325j) kepada kelab dari China pada 2016.

Pemain tengah berkaliber itu seperti tidak kisah untuk meraih trofi di Eropah dan karier antarabangsanya apabila terus bersama Shanghai SIPG sehingga kini.

Marina turut membawa masuk £40j (RM216j) hasil penjualan Nemanja Matic, £130j (Eden Hazard) dan £57j untuk Diego Costa selain bertanggungjawab menjadi perunding perjanjian penajaan dengan Nike yang menyuntik dana £60j (RM325j) setahun kepada kelab sehingga 2032.