Skip to main content

Mampu lakukan ujian Covid-19 enam kali ganda

MALAYSIA kini mampu menjalankan 36,812 ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) iaitu enam kali ganda berbanding sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga masih mempunyai 6,397 jumlah katil untuk Covid-19.

Menurutnya, walaupun terdapat 442 katil ICU dikhususkan untuk pesakit Covid-19, kini ia mula digunakan untuk pesakit kes lain.

"Begitu juga dengan mesin ventilator memandangkan hanya terdapat dua kes wabak itu yang menggunakannya.

"Jumlah kes aktif kini sudah menurun kepada hanya 208 kes dan peratus kematian turut menurun kepada 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Ini menandakan Malaysia berada dalam fasa pemulihan dan berjaya meratakan lengkung graf kes serta mengurangkan penularan dalam komuniti hasil tindakan bersama semua pihak termasuk komuniti dan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya dekat Kuala Lumpur hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, PKP yang berlanjutan sebanyak empat fasa, diikuti dengan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

"Tindakan drastik itu diambil kerajaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dengan cara hadkan pergerakan orang ramai serta menutup pintu masuk antarabangsa untuk mengelakkan jangkitan dibawa masuk ke dalam negara ini.

"Kini, bagi memastikan negara pulih sepenuhnya dan berjaya menjalani fasa PKPP ini, masyarakat perlu memainkan peranan yang lebih besar iaitu dengan mematuhi

sepenuhnya segala nasihat yang diberi dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Malaysia harus bersedia ke arah kehidupan dengan normal yang baharu," katanya.