--> Skip to main content

Malam ini Man mesti tidur lena - Ibu

KISAH ibu, Zainab Jamal berusia 85 tahun yang menjaga anak lelaki tunggalnya, Abd Rahman Nadyin, 61, yang terlantar sakit akibat angin ahmar di Pasir Panjang, Port Dickson mendapat perhatian pelbagai pihak yang simpati dengan nasibnya itu.

Selain pemimpin setempat yang datang melawat serta memberi sumbangan, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut bersimpati dengan kehidupan dua beranak yang serba daif ini.

Hari ini lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Datuk Abdul Rahman Redza hadir melawat keluarga ini dan melihat bentuk bantuan yang boleh diberikan.

NGO, Khidmat Amal Bilal Muda turut menyumbangkan katil, tilam, tikar getah dan kipas angin untuk keselesaan dua beranak warga emas ini yang kisahnya tersiar dalam portal Harian Metro hari ini.

Warga emas, Zainab berkata, dia terharu dengan sumbangan yang diterimanya ini dan berharap anaknya, Abd Rahman selesa tidur di tilam baru.

"Malam ni (ini) Man mesti tidur lena kalau tidak selalu jerit minta digarukan badannya yang gatal, jadi nenek (merujuk Zainab) pun boleh tidur lena juga," katanya berseloroh sambil memandang anaknya.

Ketua Khidmat Amal Bilal Muda, Mohamad Alif Haikal Haris berkata, pihaknya mendapat tahu kesulitan dua beranak yang sudah uzur ini melalui berita yang disiarkan portal Harian Metro dan Berita Harian.

"Kami hadir bersama beberapa ahli Khidmat Amal Bilal Muda dengan menyumbangkan katil, tilam, tikar getah dan kipas angin untuk meringankan beban mereka di penghujung usia dengan sedikit keselesaan.

"Sejak berita ini keluar dalam portal akhbar perdana ini, kami berbincang untuk membantu mereka kerana simpati dengan nasib dua beranak yang hidup serba kekurangan," katanya ketika ditemui di rumah warga emas ini.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pasir Panjang, Khairulnizam Mohamad berkata, dia dihubungi NGO Khidmat Amal Bilal Muda yang memaklumkan mereka mahu menyumbang peralatan tidur untuk ibu tua yang menjaga anaknya yang terlantar sakit.

"MPKK amat mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan kepada keluarga ini dan saya nampak mereka kelihatan ceria selepas mendapat sumbangan set peralatan tidur.

"Terima kasih kepada mereka yang menyumbang dan kami (MPKK) akan terus memantau keluarga ini dari masa ke semasa kerana mereka dua beranak dalam keadaan uzur dan tidak berdaya," katanya.

Berita berkaitan

• Kerusi roda buat Man