Skip to main content

'Siang malam dengan basikal'

PAKAR pecut dan pelumba Terengganu Inc Cycling Team (TSG), Harrif Saleh berkongsi pengalaman bahawa bukan senang untuk mencapai tahapnya sekarang termasuk memenangi perlumbaan peringkat Le Tour de Langkawi (LTdL).

Menurut pelumba kelahiran Terengganu itu, sebelum bergelar atlet bertaraf antarabangsa pelbagai liku dan kesusahan terpaksa ditempuhi termasuk meminjam basikal dari orang lain.

"Dari basikal pinjam hinggalah ditaja sekarang, dulu hidup susah, keluarga tidak ada duit hendak beli basikal mahal, minat main basikal memang sudah lama," katanya dalam entri Facebook hari ini.

Harrif juga mengakui pernah melalui pelbagai era penciptaan basikal dari zaman besi, aloi dan karbon.

HARRIF kuasai perlumbaan basikal sejak zaman kanak-kanak. HARRIF kuasai perlumbaan basikal sejak zaman kanak-kanak.

"Zaman dulu kelajuan tidak sama seperti sekarang. Sekarang sudah canggih, rim karbon, rangka karbon. Cuma abang mahu memberitahu 'adik'adik' yang akan ke Sukan Malaysia (Sukma) atau sebagainya. Abang dulu memang siang malam dengan basikal. Tidur tengok basikal, hendak ke sekolah tengok basikal, orang kata semua basikal la," katanya.

Harrif yang juga pernah berpangkalan di Melbourne, hendak sampai ke tahap sekarang, semangat dan fokus kena kuat.

"Impian abang mula-mula hendak masuk LTdL, selepas itu berangan hendak menang. Alhamdulillah dengan usaha, berkat, doa ibu, keluarga dan kawan-kawan yang memberi sokongan. Impian abang dapat direalisasikan.

"Buat adik-adik yang hendak berjaya lakukan dengan bersungguh-sungguh. Jangan tunggu orang suruh buat, baru hendak buat. Selalu fokus, insyaAllah, berusaha, berdoa dan tawakal," katanya.

Kali pertama Harrif meraih juara peringkat di LTdL ialah pada edisi 2019 sebelum melakukan pencapaian sama tahun ini dengan muncul juara peringkat kelima dan ketujuh.