Skip to main content

Mahu variasi watak

NAMA pelakon Doria Rachel Jolly, 32, mula meniti di bibir penonton menerusi drama bersiri Syurga Yang Kedua.

Lakonannya sebagai watak antagonis amat menjadi dan hidup, sekali gus menjadi perhatian ramai.

Pelakon berasal dari Miri, Sarawak ini turut menonjol menerusi pelbagai drama lain antaranya Melankolia, Isteri Tuan Ihsan, Puteri Yang Ditukar, Kau Perempuan Itu, Seindah 7 Warna Pelangi, Rindu Yang Terindah dan Leon Zalika.

Tempoh tiga tahun bergelar pelakon, Doria puas dengan pencapaian yang dikecapinya setakat ini.

Bagaimanapun, dia tidak mahu berada di takuk sama dan kini bertekad mahu melakukan kelainan dalam wataknya.

"Tak dinafikan saya gembira kerana boleh dikatakan agak cepat diterima penonton. Cuma, saya sedar asyik-asyik diberikan watak sama iaitu antagonis (jahat) dan gadis 'blur'.

PERNAH aktif sebagai model dan memenangi anugerah Fashionista Star Search pada 2011. PERNAH aktif sebagai model dan memenangi anugerah Fashionista Star Search pada 2011.

"Saya sendiri tak faham kenapa asyik ditawarkan watak sama dalam setiap drama. Itu sebabnya sekarang saya nak ubah persepsi semua pihak untuk cuba bawakan watak lain.

"Jika masih ditawarkan watak sama, saya akan tolak. Bukan saya sombong atau 'demand', tapi ia perlu untuk mengelakkan dilabel stereotaip," katanya.

Menurutnya, seboleh mungkin dia mahu membawakan watak lebih mencabar dan paling diidamkan ialah watak utama.

"Saya faham pasti akan ada yang kata saya dah mula nak besar kepala atau sebaliknya. Tapi, rasanya saya belum pernah diberikan peluang untuk bawa watak lebih serius dalam lakonan.

"Tak tahu kenapa, tapi kalau tak diberikan kepercayaan bagaimana saya nak tunjukkan potensi lakonan saya yang lebih baik?

"Saya pun sudah tiga tahun berlakon, jadi apa salahnya peluang ini diberikan? Saya bukan putus asa, sebaliknya mahu terus kekal berada dalam industri dan berjuang untuk mencipta nama," katanya.

Doria berkata, dia menganggap dirinya masih belajar dan perlu lebih banyak menimba ilmu bagi memantapkan lakonannya untuk berada seiring nama besar lain.

"Sebenarnya masih banyak lagi perkara yang saya perlu belajar dalam bidang seni. Perkara ini perlu seiring dengan kepercayaan pelbagai pihak terhadap saya. Jadi, saya masih menunggu peluang untuk diberikan watak yang boleh mengubah pandangan peminat terhadap saya.

MAMPU lakon watak lebih mencabar. MAMPU lakon watak lebih mencabar.

"Sebenarnya bukan watak utama yang diidamkan. Memadai jika saya diberikan sesuatu watak yang lebih mencabar. Tak naklah watak sama," katanya yang mengakui banyak menolak tawaran watak stereotaip," katanya.

Keyakinan dan iltizam tinggi Doria terlihat apabila dia begitu yakin menjelaskan mampu melakonkan watak lebih mencabar.

"Banyak lagi yang saya rasa boleh teroka dan keluarkan dalam lakonan. Peminat pun tunggu saya bawa watak lebih mencabar atau watak utama.

"Mereka sangat hargai cara saya bawa setiap watak dan dari situ percaya saya boleh buat lebih lagi. Itu sebabnya mereka selalu tanya saya bila nak bawa watak utama. Namun jawapannya bukan terletak pada saya kerana hanya penerbit dan pengarah yang boleh menilaikannya," katanya.

Aktif banyak bidang

Bercerita aktiviti terkininya, Doria berkata, dia baru sahaja memulakan penggambaran drama bersiri Keluarga Pasar arahan Azmi Hatta.

"Ini lakonan pertama saya selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir. Saya terima tawaran ini kerana wataknya berbeza daripada yang sering dibawakan. Selain berlakon, saya juga fokus hasilkan video untuk peminat saya menerusi YouTube. Ia masih dalam proses pembuatan. Saya akan tampilkan kehidupan saya iaitu rutin seharian saya dan resipi makanan kerana saya minat memasak," katanya.

BERSAMA suami tercinta. BERSAMA suami tercinta.

Menyingkap latar belakangnya, Doria pernah menuntut dalam bidang perundangan di sebuah universiti di London.

Keberaniannya membawa dia mencuba nasib menyertai pertandingan realiti pencarian bakat Britain X Factor dan berjaya hingga peringkat Top 40.

Dia juga pernah aktif sebagai model dan memenangi anugerah Fashionista Star Search pada 2011.

Doria yang awalnya kurang fasih bertutur dalam bahasa Malaysia menyertai Ikon Siarawan RTM bagi memperbaiki kelemahan ini.

Selain berlakon, dia juga pernah bergelar penyampai radio di Traxx FM serta tampil sebagai hos Sukan Olimpik untuk RTM.

"Ini juga antara bidang yang saya suka. Cuma tak dinafikan sekarang tawaran agak berkurangan berbanding dulu. Saya suka mengacara dan berharap akan terus diberikan peluang ini pada masa depan. Lagipun saya dapat latihan yang bagus ketika terbabit dalam Ikon Siarawan dan sayang kalau dibiarkan begitu saja," katanya.

Mengulas sisi peribadinya, Doria kini bergelar isteri kepada doktor, Dinesh Rajan, 33, sejak 18 Julai tahun lalu.

"Rancangan untuk dapat anak belum lagi kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya. Bimbang pula anak terabai jika kami tiada masa.

"Saya juga bersyukur kerana suami sangat menyokong kerjaya saya. Kalau boleh dia nak saya teruskan berlakon dan sering bagi semangat," katanya.