Skip to main content

Mahu lebih ramai atlet para layak ke Tokyo

KETUA jurulatih skuad olahraga para negara, R Jeganathan menyasarkan lebih ramai atlet para kebangsaan layak secara merit ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang ditunda ke tahun hadapan susulan penularan pandemik Covid-19.

Setakat ini, empat atlet para - Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100m T36), Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20), Abdul Latif Romly (lompat jauh F20) dan Jonathan Wong Kar Gee (lompat jauh T12) - telah layak ke Paralimpik Tokyo selepas memenangi pingat pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2019 di Dubai.

"Setakat ini, saya masih menunggu kalendar kejohanan 2021 daripada Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) yang dijangka dikeluarkan pada November dan Disember ini sebelum menentukan kejohanan mana akan disertai atlet olahraga para kebangsaan.

"Sekiranya ada kejohanan domestik dibenarkan diadakan pada tahun ini tidak kira untuk atlet para mahupun normal, saya akan menghantar atlet kita sebagai medan pendedahan sebelum menghadapi beberapa kejohanan antarabangsa pada awal tahun hadapan," katanya.

Dalam pada itu, Jeganathan berkata sembilan atlet olahraga para kebangsaan telah menyertai kem latihan pusat Road to Tokyo (RTT) 2020 sejak 8 Jun lepas di Bukit Jalil, dengan fokus meningkatkan kekuatan otot, selain latihan lasak bagi membantu mereka kembali ke prestasi terbaik.

Beliau memaklumkan kesemua mereka akan diberi rehat selama beberapa hari setelah kem latihan RTT berakhir pada 30 Jun ini, sebelum meneruskan sesi latihan di Pusat Kecemerlangan Paralimpik, Kampung Pandan pada awal bulan depan.