Skip to main content

Mabuk cinta punya pasal, janda rugi RM1.1 juta

AKIBAT 'mabuk cinta' seorang janda berusia 57 tahun kehilangan wang simpanan sebanyak RM1.1 juta selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, mangsa berasal dari Sabah dan menetap di Seremban berkenalan dengan seorang lelaki seusia pada 9 September tahun lalu di laman sosial.

"Selepas beberapa hari perkenalan, lelaki terbabit mengadu mengenai masalah kewangan dan meminta bantuan daripada mangsa.

"Mangsa yang terpedaya dengan pujuk rayu lelaki terbabit memasukkan wang yang diminta dengan transaksi dilakukan sebanyak 65 kali menerusi beberapa akaun yang berbeza.

"Kemasukan wang bermula pada 23 Oktober lalu sebanyak RM3,300 dan kemudiannya memasukkan pula ke dalam beberapa akaun lain termasuk atas nama kawan lelaki terbabit.

"Kali terakhir transaksi dilakukan mangsa ialah pada 31 Mei lalu dan keseluruhan wang yang dimasukkan ke dalam akaun sindiket berjumlah RM1.1 juta," katanya hari ini.

Aibee berkata, mangsa menyedari ditipu selepas lelaki berkenaan tidak lagi dapat dihubungi.

"Mangsa membuat laporan polis pada 26 Jun lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Beliau berkata, semakin ramai yang menjadi mangsa sindiket Macau Scam sejak kebelakangan ini menunjukkan mereka semakin aktif memperdayakan mangsa.

Sehubungan itu, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak mudah melayani panggilan yang meminta butiran berkaitan akaun bank.

"Jangan sesekali menyerahkan kad mesin juruwang automatik (ATM) dan nombor pin kepada mana-mana individu atau pihak tidak dikenali.

"Sekiranya kad berkenaan tiada dalam simpanan, segera membuat pembatalan kad ATM di bank," katanya.