Skip to main content

'Pemain Liverpool layak digelar hero'

SELEPAS 30 tahun, melalui pelbagai rintangan dan kutukan bergelar penyokong tegar Liverpool, akhirnya saat yang dinantikan sudah tiba untuk meraikan kejayaan bersama kelab kesayangan meraih trofi Liga Perdana Inggeris (EPL).

Salah seorang penyokong kuat The Reds, Abdul Shukor Shaari mengakui Liverpool memang selayaknya muncul juara musim ini.

"Memang layak sepenuhnya (muncul juara), pasukan yang padu dan konsisten, terbukti apabila menjadi juara Kelab Eropah dan Juara Kelab Dunia.

"Menjadi Juara EPL melengkapkan piala dan penyokong Liverpool akan sentiasa tersenyum biar apa pun komen serta kritikan penyokong kelab lain, terutamanya musuh tradisi, Manchester United," katanya.

Abdul Syukor berkata, kejayaan ini adalah berpunca daripada 'The Normal One', Jurgen Klopp.

"Beliau berjaya mencorak kombinasi dan mengatur strategi pasukan, serta berjaya meningkatkan prestasi para pemain," katanya yang menyambung pelajaran dan tinggal di Liverpool pada 1992.

Seorang lagi peminat Liverpool, Suziyannie Mat Noor berkata, dia sangat teruja dan gembira apabila penantian 30 tahun akhirnya terlerai.

"The Reds memiliki musim yang hebat dan mereka dilatih oleh jurulatih yang hebat, Klopp.

"Semua pemain Liverpool layak digelar sebagai hero. Liverpool berjaya mempamerkan salah satu persembahan menakjubkan dan paling konsisten," katanya.

Suziyannie mula meminati kelab berkenaan sejak zaman sekolah rendah lagi atas pengaruh keluarga yang meminati pasukan The Reds.

"Saya semakin serius menjadi peminat tegar ketika di peringkat sekolah menengah iaitu era Gerard Houllier dan lebih-lebih lagi dengan kehadiran Michael Owen yang sensasi ketika itu.

"Minat pada pasukan Liverpool tidak boleh ditukar lagi, lebih-lebih lagi apabila menyaksikan 'miracle comeback' memenangi Liga Juara-Juara 2005.

"Semua penyokong Liverpool akan mengingati Rafa (Benitez) dan juga barisan pemain yang lain seperti Steven Gerrard, Luis Garcia, Xabi Alonso, Fernando Torres dans sebagainya," kata Suziyannie.

ABDUL Shukor (kiri) dan Mohd Azizol ABDUL Shukor (kiri) dan Mohd Azizol

Sementara itu, Mohd Azizol Abdul Razak berkata, dia sangat teruja dan hilang kata-kata selepas penantian 30 tahun berakhir.

"Sangat berpuas hati. Klopp dan semua pemain adalah wira. Staf sokongan pula adalah wira yang tidak didendang," katanya yang mula meminati Liverpool sejak peristiwa 'Miracle 2005'.