Skip to main content

Liverpool dalam kelas tersendiri

Barisan pemain Chelsea meraikan jaringan Willian (tengah) ketika aksi menentang City di Stamford Bridge awal pagi tadi. - Foto : gettyimages

PENGENDALI Chelsea, Frank Lampard tetap menganggap Manchester City sebagai pasukan terbaik sekalipun skuad The Citizens itu terlepas meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi musim ketiga berturut-turut.

Pada masa sama, Lampard berkata, Liverpool ternyata berada pada kelas tersendiri sehingga melayakkan mereka ditabalkan selaku juara liga musim ini.

"Apabila anda berdepan pasukan berkualiti seperti Manchester City dan Liverpool, ia adalah sesuatu yang sangat menarik untuk disaksikan.

"Pep Guardiola dan Jurgen Klopp ada aura yang luar biasa. Itu sebabnya mengapa Liverpool memenangi trofi EPL malam ini," katanya.

Liverpool mengesahkan kejuaraan liga sekali gus mengakhiri penantian 30 tahun selepas Chelsea menewaskan City 2-1 di Stamford Bridge awal pagi tadi.

Christian Pulisic dan Wllian masing-masing menjaringkan dua gol buat Chelsea manakala perancang City, Kevin De Bruyne menyumbang gol tunggal The Blues.

"Saya cukup bangga dengan kemenangan ini kerana kami menewaskan pasukan hebat seperti Manchester City. Tetapi ia satu perlawanan sukar terutamanya dalam tempoh 20 minit selepas separuh masa kedua.

"Bagaimanapun, kami berhak menang berdasarkan kepada peluang yang dimiliki. Saya harap para pemain dapat meneruskan momentum ini sehingga penghujung musim," ujarnya.