Skip to main content

Lima 'keldai akaun' diberkas

PETALING JAYA – Seramai lima individu termasuk dua wanita disyaki 'keldai akaun' diberkas sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dalam 'Op Mule Account' di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kesemua individu berusia dalam lingkungan 19 hingga 26 tahun itu ditahan dalam serbuan pada jam 8 pagi.

"Kesemua suspek dipercayai dijadikan 'keldai akaun' oleh sindiket yang tidak bertanggungjawab.

"Kita menjalankan siasatan dengan mendapatkan maklumat dari pihak bank berkenaan pemilik akaun yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nik Ezanee berkata, ada suspek suspek yang tidak mengetahui bahawa akaun bank mereka telah digunakan sindiket berkenaan untuk mengaut keuntungan dengan melakukan penipuan.

"Mangsa mudah terpedaya dengan penipuan ini dalam pelbagai bentuk antaranya sindiket menawarkan pinjaman wang tidak wujud, pembelian barangan dalam talian, menipu dalam urusan sewa bilik atau rumah.

"Sindiket akan memberikan nombor akaun bank 'keldai akaun' kepada mangsa bagi urusan pembayaran atau pendeposit wang," katanya.

Menurutnya, kesemua suspek telah dituduh mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada hari yang sama.

"Kita akan meneruskan lagi usaha untuk mengesan 'keldai akaun' dan sindiket berkenaan.

"Orang ramai dinasihatkan tidak sewenang-wenangnya berkongsi maklumat berkaitan kewangan, akaun bank atau nombor pin kad pengeluaran wang automatik (ATM) dengan individu lain.

"Masyarakat juga boleh memuat turun aplikasi 'SemakMule' bagi membut semakan 'scammers'," katanya.