Skip to main content

Lelaki patah pergelangan kaki, terjatuh sewaktu mendaki di Bukit Jambul

GEORGE TOWN: Seorang lelaki patah pergelangan kaki kiri selepas terjatuh ketika melakukan aktiviti mendaki di Bukit Jambul, Pulau Pinang pada Ahad.

Lelaki berusia 42 tahun itu yang mendaki sendirian dikatakan terjatuh dari tebing bukit dan dia ditemui oleh orang awam yang mendaki di kawasan berkenaan.

Jurucakap Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.15 petang.

Katanya, kerja menyelamatkan mangsa membabitkan anggota dari Balai Bomba Jalan Perak.

Sebaik tiba di lokasi, anggota bomba memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum membawa mangsa turun menggunakan pengusung.

Siasatan di tempat kejadian mendapati terdapat kesan mangsa tergelincir dari tebing bukit berkenaan.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

Pulau Pinang membenarkan aktiviti mendaki sejak 6 Jun lalu iaitu pada fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).