Skip to main content

Lelaki patah kaki dihempap pokok

TAIPING: Seorang lelaki terpaksa menanggung sakit apabila kakinya patah akibat dihempap pokok yang sedang ditebang di kebunnya di Batu 9 dekat sini, Jumaat petang.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak berkata, mereka menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 6.56 petang.

Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian, mereka mendapati sebatang pokok telah tumbang dan menimpa kaki kiri mangsa yang berumur 47 tahun.

"Anggota bomba memberi rawatan awal kepada mangsa dan menyerahkannya kepada pihak ambulans untuk tindakan selanjutnya," katanya di sini, pada Jumaat malam.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mustafa Kamal Ismail tamat pukul 8 malam.